Berita Semasa

MyCC sudah siapkan kajian kartel padi, beras – Fuziah

KUALA LUMPUR – Laporan kajian mengenai kartel padi dan beras sudah disiapkan dan akan diumumkan kelak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kajian oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu mungkin akan mendedahkan penyalahgunaan dominan mana-mana syarikat yang terbabit memonopoli bekalan berkenaan.

“MyCC sudah menyiapkan laporan kajian berkenaan kartel padi dan beras tetapi saya tidak boleh dedahkan di sini sehingga laporan rasmi didedahkan, tetapi sudah pun diselesaikan.

“Dan kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih import dan sebagainya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai sejauh mana kerajaan mengambil tindakan terhadap kartel yang memonopoli harga makanan.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai status Menu Rahmah, Fuziah berkata, KPDN sudah memperluaskan penggunaan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah yang ditawarkan kepada pengusaha.

“Kita memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah November tahun lalu untuk memberikan diskaun kepada pengusaha supaya mereka boleh beli barangan keperluan untuk masak Menu Rahmah.

“Namun kita dapati ada masalah kerana pasar raya menawarkan khidmat diskaun ini mempunyai sistem berbeza. Jadi kad ini tidak dapat diguna pakai di semua pasar raya.

“Maka kita atasi masalah itu dengan cara menawarkan kad ini kepada operator Menu Rahmah untuk mereka beli di Jualan Rahmah yang sebelum ini tidak boleh membekalkan kepada peniaga,” katanya.

Katanya, dengan kaedah itu, pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah diberi kelonggaran membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah pada kadar melebihi pengguna biasa.

Show More

Related Articles

Back to top button