Malaysia terus terbuka adakan kerjasama strategik dengan China
SHANGHAI – Malaysia terus terbuka dan mengalu-alukan kerjasama strategik dengan China dalam aspek pelaburan teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan serta sektor-sektor berkemahiran tinggi.
Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dua hala dengan Premier, Li Qiang sempena lawatan kerja ke China selama empat hari hingga Khamis ini.
Menerusi pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran serta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Saya turut nyatakan bahawa Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan.
“Malaysia punyai ruang belajar daripada kejayaan China dalam lingkungan ini menerusi kerjasama dengan China International Development Cooperation Agency (CIDCA) dan International Poverty Reduction Centre (IPRCC),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Pada masa yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan ucapan tahniah pada Kerajaan China atas penganjuran Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Ke-7.
Ujar beliau, ia menjadi lembaran penting buat ratusan perusahaan kecil dan sederhana dari pelbagai negara, termasuk Malaysia untuk mengembangkan perniagaan.
“Saya ulangi pendirian Malaysia yang menerima baik prinsip perkongsian masa hadapan yang diutarakan oleh Presiden Xi Jinping sebelum ini, yang menekankan soal perkongsian kemakmuran untuk manfaat setiap individu dan negara.
“Prinsip ini menjadi antara asas penting mengapa Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS. Dalam soal ini, saya menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan China terhadap penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS,” ujarnya.
Sesudah pertemuan itu, Perdana Menteri dan Premier Li menyaksikan pertukaran dokumen terkait Belt and Road Initiative (BRI) serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan China Media Group (CMG).
“Alhamdulillah, pertemuan ini telah mempererat hubungan peribadi antara saya dan Premier Li, dan memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang pastinya akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah,” katanya lagi.