Malaysia hantar kumpulan pertama MALBATT 850-12 ke Lubnan
SUBANG JAYA – Seramai 220 anggota kumpulan pertama Malaysian Battalion 850-12 (MALLBATT 850-12) akan ke Lubnan bagi membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL), petang ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertukaran pasukan ini adalah kerana tempoh bertugas bagi Kontinjen MALBATT 850-11 telah tamat dan memerlukan penggantian Kontinjen Malbatt 850-12.
“Kumpulan tersebut terdiri daripada 43 pegawai, seorang pegawai awam dan 174 anggota lain-lain pangkat (LLP), serta dua pegawai dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
“Pertukaran ini juga adalah berdasarkan kepada ketetapan Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) melibatkan semua negara yang menyertai UNIFIL,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled telah menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Majlis ini adalah merupakan simbolik kepada penugasan Kontinjen MALBATT 850-12 sebelum berangkat ke Lubnan.
Turut berlangsung semasa majlis adalah Upacara Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kontinjen MALBATT 850-12 UNIFIL dan Majlis Penyerahan Bendera Malaysia kepada Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Ditanya persiapan yang telah dijalankan anggota MALBATT, Khaled berkata, mereka telah menjalani latihan khusus selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Katanya, latihan itu merangkumi sebulan Latihan Satu Perkhidmatan dan dua bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama.
“Sebelum pergi, mereka dah lakukan persediaan dalam memastikan seluruh pasukan bersedia dari segi keselamatan serta bersedia dalam apa juga misi termasuk cabaran psikologi.