Berita Semasa

Lebih 70 peratus penagih dalam negara guna dadah sintetik

PUTRAJAYA – Sebanyak 119,410 penagih dalam negara dikesan menggunakan dadah jenis sintetik.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, angka tersebut bersamaan 70.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih yang direkodkan sejak Januari hingga September lalu.

“Berdasarkan statistik penyalah guna dan penagih dadah serta bahan, seramai 169,691 orang telah dikesan mengambil dan menyalah guna bahan terlarang itu di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 162,360 orang adalah lelaki manakala wanita pula seramai 7,331 orang,” katanya.

Ruslin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri progam Sembang Santai bersama media, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, dadah sintetik yang digunakan adalah dalam kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS) dan berbentuk hablur kristal, yang dihasilkan menerusi pemprosesan campuran bahan kimia, dan turut dikenali sebagai syabu, ice, dan batu.

Ruslin turut memberitahu, dadah jenis opiat mencatatkan angka kedua tertinggi dengan catatan kes sebanyak 38,854 orang diikuti dadah jenis ganja seramai 6,750 orang dan pil psikotropik pula sebanyak 2,114 kes.

Tambah beliau, kadar penyalahguna dan penagih dadah atau bahan bagi setiap 100,000 penduduk menyaksikan Kelantan mencatatkan jumlah paling tinggi dengan catatan kes sebanyak 980 orang.

“Data ini disusuli dengan Terengganu dengan angka sebanyak 925 orang diikuti Perlis sebanyak 884 orang, Kedah (790 orang); Pahang (704 orang); Pulau Pinang (700 orang) dan Melaka sebanyak 664 orang,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button