Lapor segera jika ada maklumat berkaitan ajaran menyeleweng
CYBERJAYA – Warga universiti diseru supaya melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan ajaran menyeleweng disebar atau diamalkan di kampus.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Radihan Saari berkata, warga univerisiti juga perlu peka kerana kelompok ekstremis semakin licik menyebarkan fahaman mereka, lapor portal Selangorkini, hari ini.
Jelas Radihan lagi, antara modus operandi kelompok itu termasuk berselindung di sebalik penganjuran pelbagai bentuk program seperti kebajikan, ilmiah dan akademia yang tidak menjurus secara terus kepada fahaman itu.
“Tanggungjawab kita semua untuk buat laporan. Jika di Wilayah Persekutuan lapor pada penguatkuasa JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) jika di Selangor JAIS(Jabatan Agama Islam Selangor) atau mana-mana balai polis terdekat.
“Cuma ada pihak tertentu, dia licik. Jadi perlu peka,” kata Radihan sewaktu sesi soal jawab sempena Seminar Kefahaman Ekstremis dalam kalangan pimpinan pelajar IPTA/IPTS Selangor 2024 di Shah Alam, semalam.
Dalam sesi soal jawab sama, Superintendan Bakari Bakar dari Cawangan Khas E2 Bukit Aman berkata, laporan dibuat adalah penting untuk pihak berkuasa mengambil tindakan susulan dan sewajarnya.
“Kalau nampak golongan bukan Islam cuba menarik beri bahan bacaan bukan Islam (dengan tujuan menyebar agama mereka) ambil gambar, kenal pasti dari mana dan ambil keperluan yang ada. Salurkan pada pihak universiti dan polis. Ini fardu kifayah kepada kita semua,” katanya.
Terdahulu kira-kira 400 peserta menyertai seminar itu yang antara lain bertujuan melahirkan pemikiran pemimpin dan warga yang faham pelaksanaan agama yang bebas daripada fahaman radikal.