Berita SemasaDalam Negeri

KPN cadang Bahasa Kebangsaan diperkaya dengan bahasa kolokial, dialek tempatan

BANGI – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan lebih banyak perkataan daripada bahasa atau dialek tempatan atau bahasa kolokial dimasukkan ke dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha itu penting bagi memperkayakan kosa kata Bahasa Kebangsaan, mengekalkan warisan linguistik dan mengangkat bahasa sebagai agen perpaduan.

Beliau turut mencadangkan agar satu pengajian atau silibus mengenai bahasa-bahasa kolokial tempatan diperkenalkan dalam sukatan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

“Dalam membangunkan bahasa standard, saya mencadangkan bahasa dialek dan bahasa kolokial diperbanyakkan dimasukkan dalam kamus, lebih-lebih bahasa atau dialek tempatan yang jarang digunakan.

“Ini boleh memperkayakan kosa kata dan seterusnya boleh menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024 anjuran Arkib Negara Malaysia yang berlangsung selama dua hari di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi hari ini.

Justeru beliau menyarankan kajian mengenai bahasa kolokial dan dialek diperluaskan di semua negeri melibatkan pelbagai bangsa, etnik dan suku kaum di Malaysia.

“Misalnya penggunaan teknologi terkini dan multi-disiplin seperti menggunakan pendekatan Geograhical Information System (GIS) boleh dilakukan oleh pengkaji-pengkaji bahasa.

“Hasil kajian ini perlu diterbitkan dan disebar luaskan,” katanya.

 

Aaron Ago Dagang menyerahkan cenderahati kepada salah seorang daripada pengkaji bahasa.
Aaron Ago Dagang menyerahkan cenderahati kepada salah seorang daripada pengkaji bahasa.

Mengenai cadangan memperkenalkan pengajian bahasa kolokial sebagai silibus di IPT, Aaron perkara itu boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selepas maklumat komprehensif mengenainya dikumpul oleh pihak Arkib Negara.

“Itu memang hasrat kita. Apabila kita sudah mengumpul maklumat mengenai pelbagai bahasa, langkah seterusnya adalah untuk institusi pengajian tinggi jadikan ia sebagai satu sukatan pelajaran,” katanya.

Aaron juga berharap Arkib Negara Malaysia dapat meneroka usaha pendigitalan teks lama, rakaman suara, dan dokumen penting dalam bahasa kolokial bagi membolehkan warisan itu disimpan dalam format digital dan mudah diakses oleh generasi akan datang.

Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024 anjuran Arkib Negara Malaysia bertujuan untuk mengumpul dan mendokumentasikan maklumat mengenai bahasa kolokial supaya ia kekal terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.

Konvensyen yang berlangsung selama dua bermula hari ini melibatkan pengkaji bahasa dan budaya, penggiat seni sastera dan budaya, ahli akademik, agensi sawasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan belia, pegawai kerajaan, penuntut IPT dan juga komuniti pelbagai kaum.

Sejak 2013, sebanyak 11 siri Bicara Bahasa Kolokial telah dilaksanakan bagi mengangkat peranan bahasa sebagai agen perpaduan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button