Berita Semasa

KPDN Perak rampas barang kawalan disimpan tanpa permit, lesen yang sah

TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas barang kawalan bernilai lebih RM10,935.70 yang ditemukan disimpan seorang peniaga di premis miliknya di Kuala Sepetang, dekat sini semalam.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, premis tersebut diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa pada kira-kira pukul 10 pagi.

Jelasnya, serbuan di bawah Ops Tiris 3.0 itu telah menghasilkan satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas premis tersebut.

“Kes dihasilkan setelah pemeriksaan menemukan sejumlah barang kawalan iaitu gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum disyaki di simpan dalam sebuah premis tanpa nama untuk tujuan perniagaan.

“Seorang lelaki Cina warga tempatan berumur 79 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan didapati gagal untuk mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan di premis tersebut apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan sitaan telah dilakukan ke atas 104 unit tong silinder LPG, 19 unit minyak masak botol, 40 kilogram (kg) minyak masak paket, 132 kg gula pasir kasar dan 396 unit tepung gandum dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM10,935.70.

Beliau kemudiannya menambah, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Show More

Related Articles

Back to top button