Berita SemasaSukan

KLSC catat kutipan sewa RM10.647 juta setakat Oktober tahun ini – Hannah

KUALA LUMPUR – Setakat Oktober tahun ini, sebanyak RM10.647 juta telah berjaya dikutip hasil sewaan venue di Kuala Lumpur Sports City (KLSC), kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurut Hannah, sewaan itu merangkumi RM2.147 juta bagi 26 penganjuran acara sukan dan RM8.5 juta melibatkan 54 penganjuran acara bukan sukan.

“Suka saya maklumkan di sini juga bahawa, tempahan untuk penggunaan Axiata Arena telah pun penuh sehingga penghujung tahun 2025, untuk penggunaan acara sukan dan bukan sukan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang meminta KBS menyatakan apakah usaha dalam meningkatkan hasil negara melalui penganjuran lebih banyak konsert serta menjadikan KLSC sebagai fasiliti pelbagai guna bertaraf dunia.

Mengulas mengenai inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan penganjuran konsert di KLSC, Hannah berkata, sebelum ini, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hanya tertumpu bagi pertandingan dan latihan sukan hoki sahaja,
namun kini stadium berkenaan merupakan salah satu venue yang boleh dipilih bagi penganjuran konsert.

“Untuk tahun 2025, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil telah menerima sebanyak 26 tempahan untuk penganjuran konsert. Ini dapat meningkatkan jumlah konsert diadakan,” katanya.

Selain itu, Hannah berkata, PSM juga sedang menyediakan dua tapak semaian seluas lapan ekar untuk digunakan sebagai rumput gantian yang mampu ditukar.

“Ianya menggunakan konsep ‘lay and play’ apabila perlu. Contohnya, selepas konsert dan terdapat pula perlawanan bola sepak dalam tempoh terdekat.

“Konsep ‘lay and play’ ini dapat mengoptimumkan penggunaan SNBJ dan pada masa yang sama memberi masa untuk padang pulih melalui sistem penggiliran padang,” ujarnya lagi.

Menjawab soalan tambahan mengenai langkah- langkah yang boleh diambil oleh PSM memperluaskan penganjuran konsert ke stadium negeri-negeri yang lain, Hannah berkata, pihaknya sudi bekerjasama jika mereka mahu mendapatkan kepakaran dengan pihak PSM.

“Dari segi strategiknya ialah Axiata Arena kerana untuk tempahan bagi program rekreasi, PSM telah melaksanakan tempahan dan bayaran secara atas talian.

“Pada masa ini juga, PSM sedang membangunkan sistem tempahan untuk acara berskala besar di venue utama dan dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun 2025 di mana tempahan venue sebelum ini dilaksanakan secara manual dan kurang telus,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button