Kes tuntutan RGB: Saksi pertama hadir beri keterangan
KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes tuntutan oleh Revenue Group Berhad (RGB) dan anak syarikatnya, Revenue Harvest Sdn Bhd (RHSB), terhadap pengasas bersama mereka, Brian Ng Shih Chiow dan Dino Ng Shih Fang, serta syarikat Safety & Bullet Film Sdn Bhd, berlangsung semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan saksi pertama hadir memberi keterangan.
Di hadapan hakim, Atan Mustaffa Yussof Ahmad, saksi utama pihak plaintif, Ashvin Jadgish, yang juga Ketua Financial Crime Intelligence RHSB memaklumkan laporan polis yang dibuat olehnya berdasarkan arahan Pengarah Urusan dan Pengerusi Gantian Revenue, Datuk Eddie Ng Chee Siong.
Dalam masa yang sama, Ashvin mendakwa laporan dibuat selepas dia menjalankan siasatan berhubung transaksi antara RHSB dan Safety Bullet, seperti yang diarahkan oleh Eddie, yang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RGB.
Ketika disoal peguam pihak pembelaan, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, mengenai tahap komprehensif siasatan tersebut, Ashvin mengakui bahawa siasatannya tidak menyeluruh.
Dia memberi alasan gagal mengakses dokumen kewangan kerana laporan daripada pihak kewangan tidak diterima pada ketika itu.
Ashvin juga mendakwa tidak mendapat kerjasama daripada beberapa individu di pihak pengurusan, termasuk Brian, untuk mendapatkan dokumen berkaitan.
Ashvin turut menyatakan tidak memeriksa keseluruhan transaksi tetapi hanya meneliti transaksi tertentu di bahagian merchant, tanpa menyiasat transaksi pembelian kertas thermal.
Malah saksi mengakui tindakan itu dibuat atas arahan Eddie dan tidak melakukan pengawasan ke atas keseluruhan transaksi tersebut.
Ketika disoal mengenai prosedur siasatan dalam kes penipuan, Ashvin mengakui bahawa tiada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjalankan siasatan sama ada terhadap pengarah atau pekerja dalam syarikat.
Mahkamah juga ditunjukkan video pendek berkenaan peristiwa di sebuah premis di mana Shih Fang, yang pada ketika itu menjawat jawatan Pengarah IT, dihalang daripada membawa keluar dokumen selepas laporan polis dibuat.
Sewaktu disoal oleh peguam pembelaan, Ashvin mengakui bahawa dia tidak menyedari adanya mesyuarat agung yang diadakan sebelum laporan tersebut dibuat.
Begitu juga dalam laporan polis yang dibuatnya, Ashvin menyatakan bahawa siasatan hanya dimulakan selepas menerima arahan daripada Eddie.
Ketika sesi soal balas yang bersambung pada sebelah petang, Ashvin juga memaklumkan dirinya tidak melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap bekalan kertas thermal yang diterima syarikat.
Pengakuan itu dibuat selepas dia disoal seorang lagi peguam pasukan pembelaan yang mewakili syarikat Safety & Bullet Film, Ng Yee Chien
Yee Chien bertanya sama ada saksi pertama benar-benar memastikan bilangan kertas thermal yang diterima bagi setiap bekalan kotak yang dihantar.
Pihak plaintif diwakili oleh Alex Tan, Chan Kheng Hoe, Cheah Kha Mun dan Nurjannah Selamat, manakala pihak defendan diwakili oleh Malik Imtiaz, Surendra Ananth, Khoo Suk Chyi, Nur Izni Syazwani dan Yee Chien yang bertindak bagi pihak syarikat Safety & Bullet Film
Perbicaraan ditangguhkan pada jam 3.50 petang dan akan bersambung semula pada Khamis.