Proses ambil keterangan Vivy, suami masih berjalan – SPRM
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan masih mengambil keterangan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Lapor BH Online yang memetik sumber, proses mengambil rakaman percakapan pasangan suami isteri itu dijangka selesai selepas Maghrib.
Terdahulu, pasangan terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Kehadiran mereka disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi.
“Saya sahkan (mereka) hadir beri keterangan bagi membantu siasatan. Siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.
Proses ini merupakan sebahagian daripada siasatan SPRM susulan laporan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Pasangan suami isteri itu antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, semalam.
Laporan media semalam menyebut, pegawai penyiasat SPRM menyerbu empat lokasi termasuk ibu pejabat FashionValet di Bangsar.
Selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB.