KDN perjelas RUU hukuman tahanan rumah Khamis ini
KAJANG – Satu Rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan rumah akan diperincikan di Dewan Rakyat, Khamis ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan dan reaksi pelbagai pihak berhubung hukuman tahanan di rumah selepas perkara itu disebut dalam teks Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, baru-baru ini.
“(Perkara ini) mengundang pelbagai pandangan dan saya menelitinya satu persatu serta memilih pada sesi penggulungan peringkat dasar KDN yang dijadualkan pada Khamis (ini).
“Saya akan jelaskan secara terperinci apakah rasionalnya program itu hendak kami buat, apakah proses, apakah parameter dan berapa ramai (banduan) yang boleh pertimbangkan, semua itu akan saya berikan (perincian).
“Saya percaya pada akhir penjelasan itu, ia mampu ‘menjernihkan’ beberapa pandangan yang kadang-kadang saya tengok hanya tertumpu kepada ‘seorang individu’ saja,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Sesi Townhall bertemakan Mengurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Melalui Pengambilan Prospek Yang Menjalani Pemulihan Dalam Komuniti di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia, di sini hari ini.