Carput Zap lancar pengecas pantas DC perkukuh infrastruktur EV Selangor
PUCHONG – Carput Zap, operator pengecasan kenderaan elektrik (EV) terkemuka melancarkan pengecas pantas arus terus (DC) terbaharu di Kelab Golf Kinrara dalam usaha memperkukuhkan infrastruktur EV di Selangor.
EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han berkata, Selangor kini berada di hadapan dalam pembangunan EV dengan lebih 900 bay pengecasan yang aktif dan mensasarkan mencapai 1,000 bay menjelang akhir tahun ini.
Menurut beliau, sasaran itu selaras dengan Pelan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang mensasarkan 10,000 pengecas di seluruh negara.
“Kerajaan persekutuan merancang untuk menyediakan 9,000 pengecas AC (arus ulang alik) dan 1,000 pengecas DC (arus terus) bagi menggalakkan penggunaan EV di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, terdapat 610 pengecas DC dan 1,975 pengecas AC di Malaysia.
Langkah itu katanya bukan sahaja menggalakkan pemilikan EV, tetapi turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, memperluaskan akses kepada pengecasan dan membolehkan perjalanan yang lebih jauh.
Sementara itu, Carput Zap komited untuk menjadikan pengecasan EV semudah mengisi petrol dengan menyediakan perkhidmatan tanpa keperluan aplikasi dan pelbagai pilihan pembayaran.
“Kami ingin bekerjasama dengan Kerajaan Selangor untuk menjayakan rancangan EV ini,” katanya lagi.
Sementara itu, MITI turut menyokong inisiatif tersebut dengan cadangan subsidi bagi pemilikan EV yang bertujuan mengurangkan kos permulaan.
Pelan lain termasuk penambahan stesen pengecas DC dan penyelarasan yuran perkhidmatan untuk memudahkan pengguna.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han.
Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar dan Perpaduan Negara Selangor, Datuk Rizam Ismail dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim.
Sze Han berkata, pengecas baharu di Kelab Golf Kinrara itu dijangka memberi kemudahan kepada penduduk Puchong dan Kinrara serta menyokong peningkatan penggunaan EV di Malaysia.
“Setakat ini, lebih 17,000 kenderaan elektrik bateri dan sekitar 11,000 kenderaan hibrid plug-in (PHEV) telah didaftarkan.
“Kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan seperti MBPJ turut memberikan insentif seperti parkir percuma untuk pemilik EV dan hibrid sejak 2011 dengan rancangan untuk memperluaskan inisiatif itu di seluruh negeri.
“Pelancaran pengecas pantas DC Carput Zap ini diharap akan mempercepatkan agenda hijau Selangor, sekali gus menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi