2 warga emas maut, SUV rempuh tembok plaza tol
KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki merempuh tembok pembahagi lorong di Plaza Tol Sungai Besi, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Seremban, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 3.42 pagi.
Mukhlis berkata, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan SUV jenis Honda CR-V yang dinaiki dua lelaki berusia 65 tahun.
“Akibat kemalangan itu, dua mangsa tersepit di bahagian hadapan kenderaan tersebut. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa telah berjaya dilakukan oleh anggota bomba.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.