Fahmi Fadzil bertemu diaspora Malaysia di Turkiye
ISTANBUL – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menghadiri sesi perjumpaan dengan pelajar dan diaspora Malaysia di Turkiye, malam tadi.
Majlis berkenaan dihadiri 30 pelajar dan diaspora Malaysia serta pegawai Kedutaan Malaysia di negara itu, termasuk Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Hadir sama, lapan delegasi dari Malaysia terdiri daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
Fahmi, yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke negara tersebut, meluangkan masa kira-kira tiga jam pada majlis perjumpaan yang juga majlis makan malam.
Beliau menggunakan mengambil kesempatan tersebut untuk menjelaskan isu terkini yang berlaku di Malaysia termasuk kesalinghubungan Internet, kepengerusian ASEAN dan perkembangan BRICS.
Majlis itu turut menjadi platform kepada beliau mendengar dan berkongsi pandangan dengan 30 pelajar dan diaspora Malaysia yang berada di Turkiye.
Fahmi tiba di Istanbul pada 2 November bagi lawatan kerja hingga 5 November serta untuk menghadiri Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Beliau juga dijadualkan memberi kenyataan sebagai wakil Kumpulan Asia negara-negara anggota OIC di COMCEC dan menjadi antara tiga wakil selain Qatar serta Senegal.
Kunjungan ini merupakan kali pertama dalam tempoh 40 tahun seorang menteri Malaysia ke COMCEC yang kali terakhir dihadiri Tengku Razaleigh Hamzah pada 1984.