Pejabat Education Malaysia Beijing terima anugerah “Best Partner 2024” daripada CEAIE
BEIJING – Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB), di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia diumumkan sebagai penerima anugerah “Best Partner 2024” oleh China Education Association for International Exchange (CEAIE).
EMB dalam satu kenyataan berkata, ini adalah kali pertama EMB menerima anugerah ini, sekali gus mengiktiraf sumbangan dan penglibatan aktif EMB dalam aktiviti-aktiviti diplomasi pendidikan.
Katanya, penganugerahan itu menunjukkan komitmen berterusan dalam kerjasama strategik ke arah mempromosikan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di negara tembok besar tersebut.
“Anugerah “Best Partner” ini merupakan anugerah tahunan yang dianugerahkan bagi mengiktiraf organisasi atau individu yang telah menunjukkan penglibatan yang proaktif serta konsisten dalam pelbagai program pendidikan di China,” katanya dalam kenyataan itu.
Anugerah tersebut telah disampaikan kepada Pengarah EMB, Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif oleh Presiden CACIE 2024, Dr. Liu Limin sempena Persidangan dan Ekspo Tahunan Pendidikan Antarabangsa China atau China Annual Conference and Expo for International Education (CACIE) 2024.
CACIE merupakan acara tahunan Kementerian Pendidikan China menerusi affiliasinya CEAIE sejak tahun 1981, dan merupakan persidangan dan ekspo pendidikan antarabangsa terbesar dan tertua di Republik Rakyat China.
Bertemakan “Celebrating 25 years: A Time to Reflect, Envision and Create”, acara berprestij ini disertai oleh lebih 60 buah negara di dunia.
Agensi antarabangsa yang sepentas dengan EMB menerima anugerah yang sama ialah The Japan Foundation (Jepun), American Association of State Colleges and Universities (USA), Group of Eight Australia (Australia), dan Alliance Francaise de Pekin (Perancis).
Acara tersebut telah berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November lalu di China National Convention Center.