Kartel baja padi : SPRM tahan reman dua bekas pengurus besar pertubuhan
PUTRAJAYA – Dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan badan awam ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta.
Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Sazly Md Sani membenarkan kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50 hingga 60-an direman selama tiga dan empat hari selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan sekitar pukul 8.30 malam semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap kartel perolehan baja membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terkini terhadap kedua-dua suspek.
Katanya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Setakat ini tiga individu telah ditahan reman bagi membolehkan siasatan berhubung pemberian kontrak pembekalan baja bernilai RM60 juta kepada syarikat di Singapura yang dibuat secara runding terus.