PM tidak masuk campur siasatan ke atas NAFAS, Khazanah
BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan masuk campur dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).
Kata Anwar, siasatan pihak berkuasa perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada membabitkan syarikat kerajaan mahupun swasta.
“Sekarang heboh isu Perlembagaan NAFAS (digantung). Walaupun ia badan yang bebas, tetapi ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Baru-baru ini juga ada kes Khazanah Nasional Bhd, yang mana pengerusinya adalah Perdana Menteri.
“Tapi, saya tidak akan halang siasatan kalau ada laporan. Kalau salah, siasat, kalau salah, dakwa, kalau salah, hukum,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang, di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.