Berita SemasaPM X

Anwar yakin kerjasama antara parti bentuk Kerajaan Perpaduan akan terus kekal

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerjasama di antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan akan terus kekal selepas pilihan raya akan datang.

Kata Anwar dalam temubualnya bersama portal FMT, keyakinan itu adalah berdasarkan kestabilan kerajaan yang kini dibentuk dengan sokongan 18 parti politik dan beberapa Ahli Parlimen Bebas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Buat masa ini, keadaan sudah reda, stabil dari segi politik. Saya fikir gabungan ini bekerjasama dan saya fikir akan terus bekerjasama selepas penggal ini.

“Jika kita bertegas dan konsisten dengan dasar kita, maka saya percaya kita akan diberi mandat untuk terus mentadbir,” katanya dalam temu bual tersebut di Pejabat Perdana Menteri.

Anwar seterusnya berkata, ia ‘akan menjadi petanda yang baik’ bagi Malaysia jika kerajaan Perpaduan terus mentadbir.

Katanya, beliau yang akan melepasi tahun kedua sebagai Perdana Menteri pada 24 November ini, mengatasi tempoh jawatan perdana menteri terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkhidmat kurang daripada 18 bulan.

“Dalam erti kata itu, kami cukup selesa,” katanya.

Kerajaan Perpaduan dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebagai penyelesaian kepada Parlimen yang pertama kali digantung selepas PRU15.

Empat gabungan besar membentuk Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beberapa pemimpin parti berharap kerjasama antara PH dan BN diteruskan selepas pilihan raya akan datang.

Julai lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan sebagai berkata, kerjasama PH-BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini sudah cukup menunjukkan Kerajaan Perpaduan kukuh.

Begitu juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan kerjasama itu akan diteruskan selepas PRU16, walaupun BN masih belum membuat keputusan rasmi mengenai pakatan menghadapi pilihan raya.

Perkembangan itu berlaku di sebalik dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang berulang kali mendakwa orang ramai, terutama orang Melayu, tidak menyokong kerjasama BN dan PH dalam kerajaan Perpaduan.

Pembangkang turut membuat dakwaan bahawa Islam terancam dan orang Melayu keciciran ketika pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Show More

Related Articles

Back to top button