Perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa hari ini.
KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (NAFAS) hari ini mengumumkan perlembagaan pertubuhan itu digantung berkuat kuasa hari ini.
Tindakan itu dipercayai berkait siasatan isu kartel oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendedahkan kartel pembekalan baja padi yang melibatkan nilai RM1.8 bilion.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amin Matamin berkata, tindakan itu adalah sebagai tindakan untuk memulihkan NAFAS secara holistik dan mengembalikan kepercayaan kerajaan dan peladang.
Katanya, keputusan itu juga selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Ketua Pengarah LPP selaku Pendaftar Peladang di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
“Semasa tempoh penggantungan, Nafas akan diuruskan dan ditadbir oleh Pentadbir yang akan dilantik untuk menguruskan hal ehwal NAFAS.” kata memetik laporan Buletin TV3 hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di ibu negara.
Amin yang juga bertindak sebagai Pendaftar berkata, NAFAS mempunyai hak untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah itu, selaras dengan Seksyen 21, Akta 109.
Ujarnya, NAFAS masih terus beroperasi seperti biasa dengan kakitangan dan pegawai sedia ada akan meneruskan urusan berkaitan.
“Dalam tempoh penggantungan, Jemaah Pengarah tidak lagi berkuasa ianya tertakhluk kepada arahan dan pentadbiran dibawah Pentadbir-Pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar.
“Di bawah arahan Pentadbir dan saya akan memantau tindakan tindakan yang akan dilaksanakan oleh Pentadbir-Pentadbir yang akan memfokus kepada pemulihan semula NAFAS selaras dengan objektif memperkasakan semua tatakelola dan tadbir urus yang baik untuk kepentingan peladang.” jelasnya.
Mengulas lanjut, penggantungan itu juga berkait dengan dakwaan pihak jemaah Pengarah yang membelakangi keputusan-keputusan Pendaftar dengan bertindak sendiri mengeluarkan kenyataan media sebelum merujuk kepada Pendaftar.
Pada Februari lalu, NAFAS dikenakan perintah moratorium selama sembilan bulan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi tujuan untuk memperbaiki tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.
Perintah khas tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 27(2) AktaPertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) dan berakhir semalam