Berita Semasa

Miliki kekayaan bernilai RM235 bilion, pengasas TikTok kini individu terkaya di China

SHANGHAI – Pengasas bersama syarikat induk TikTok, ByteDance, Zhang Yiming, muncul sebagai individu terkaya di China, dipacu oleh populariti aplikasi media sosial itu di seluruh dunia.

Laporan oleh Hurun Research Institute mendedahkan kekayaan Zhang kini bernilai AS$49.3 bilion (RM235.4 bilion), meningkat 43 peratus berbanding tahun lalu.

Walaupun Zhang telah meninggalkan jawatan pengurusan di ByteDance pada 2021, beliau masih memegang kira-kira 20 peratus saham dalam syarikat tersebut.

Ketua Hurun, Rupert Hoogewerf berkata, Zhang menjadi individu ke-18 yang menduduki tempat pertama di China dalam tempoh 26 tahun.

“Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat hanya mempunyai empat orang yang pernah menduduki tempat teratas, termasuk Bill Gates dan Elon Musk. Itu menggambarkan sebahagian daripada kekuatan ekonomi China,” seperti yang dilaporkan Awani.

Namun, aplikasi TikTok terus menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa, terutama di Amerika Syarikat (AS) yang telah memberi amaran akan mengharamkan aplikasi itu pada Januari 2025 sekiranya ByteDance enggan menjualnya.

Keputusan AS itu disebabkan kebimbangan terhadap hubungan ByteDance dengan China, walaupun syarikat itu berulang kali menegaskan bahawa ia beroperasi secara bebas daripada pengaruh kerajaan China.

Meskipun berdepan cabaran itu, ByteDance mencatatkan peningkatan keuntungan global sebanyak 60 peratus pada tahun lalu, yang turut menyumbang kepada kenaikan kekayaan peribadi Zhang.

Di samping Zhang, beberapa tokoh besar teknologi turut menduduki tempat teratas dalam senarai kekayaan di China. Ketua Tencent, Pony Ma, berada di tempat ketiga dengan nilai kekayaan dianggarkan £44.4 bilion, hanya 30 peratus individu dalam senarai tersebut mencatatkan peningkatan nilai bersih, sementara selebihnya berdepan penurunan.

Hoogewerf berkata, senarai Hurun China Rich List mengalami penguncupan selama tiga tahun berturut-turut, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum itu di tengah-tengah keadaan ekonomi dan pasaran saham China yang mencabar.

Jumlah individu dalam senarai itu menurun sebanyak 12 peratus kepada kurang daripada 1,100 orang, dan susut 25 peratus daripada kemuncaknya pada 2021.

Laporan itu turut menunjukkan industri teknologi menjadi penyumbang utama kekayaan berbanding sektor lain, terutamanya dalam pasaran telefon pintar seperti Xiaomi.

Namun, pasaran tenaga hijau mengalami cabaran besar khususnya bagi pengeluar panel solar, bateri litium dan kenderaan elektrik (EV) yang berdepan persaingan sengit serta ancaman tarif yang menambah ketidakpastian.

“Industri teknologi di China terus menguasai senarai individu terkaya, tetapi cabaran ekonomi global turut memberi kesan kepada beberapa sektor, terutama dalam pasaran tenaga hijau yang semakin kompetitif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button