Berita SemasaHiburan

Istana Budaya bawa program jangkauan OTM ke universiti, raikan kepelbagaian seni tradisional

KUALA LUMPUR – Istana Budaya meneruskan inisiatif mempromosikan seni muzik tradisional menerusi jelajah gerak ke universiti tempatan dengan penganjuran Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia 2024.

Program itu telah berjaya mencuri tumpuan orang ramai pada sesi sebelumnya di Pavilion Kuala Lumpur dan Banda Hilir Melaka, kini melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi memberi pendedahan mengenai keunikan muzik tradisional Malaysia.

Penari dari kalangan pelajar UPM

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, program itu bukan sahaja bertujuan menghiburkan tetapi juga mendidik generasi muda tentang kepentingan mempelajari dan menghargai warisan budaya.

“Istana Budaya sentiasa berusaha mencari peluang bekerjasama dengan IPTA dan IPTS tempatan untuk perkongsian ilmu dan kepakaran menerusi platform seni dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuanku Permaisuri Selangor turut hadir di dewan Utama UPM semalam.

Program itu turut mempromosikan produk utama Istana Budaya seperti Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), OTM dan Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA).

Zubaidah berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan tiga universiti, iaitu Management and Science University (MSU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun lalu.

“Tahun ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut menyertai usaha tersebut bagi memperluaskan impak dan capaian program ini di peringkat kampus,” katanya lagi.

Program Sounds of Malaysia 2024 dibahagikan kepada dua segmen, pertama menyaksikan kolaborasi antara OTM dan komuniti UPM melibatkan 180 warga universiti yang terdiri daripada pelajar, kakitangan dan alumni dalam persembahan muzik, nyanyian dan tarian tradisional.

Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia Mohd Yazid Zakaria

Segmen kedua pula dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Roger Kajol dan Dhiya Suhaili yang membawakan lagu-lagu tradisional dan kontemporari, termasuk Dondang Dendang, Zapin Beradat, dan Gunung Bentan.

Persembahan itu berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, turut mendapat kehormatan dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin sebagai tetamu kehormat bersama tetamu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Zubaidah berkata, sambutan hangat dari warga kampus dan masyarakat umum dapat dilihat apabila tiket yang dijual dengan harga RM15 habis dalam masa seminggu.

“Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia 2024 itu seterusnya akan menemui warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 12 November 2024 di Arena Gemilang, DeTAR Putra UNIMAS dan orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari portal dan media sosial rasmi Istana Budaya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button