Berita Semasa

Fahmi bertemu Meta, tegur kandungan libatkan jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan pasukan Meta bagi membincangkan mengenai penguatkuasaan pelesenan platform media sosial dan sistem pemesejan internet bermula 1 Januari 2025.

Perbincangan itu turut dihadiri, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din manakala Meta diwakili Pengarah Dasar Awam Asia Tenggaranya, Rafael Frankel.

“Pihak Meta menyuarakan pandangan mengenai pematuhan yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan syarat-syarat ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian belum mereka teliti sepenuhnya.

“Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lessen ini bermula 1 Januari 2025 adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial termasuk scam, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun katanya, pihaknya memberi komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas.

Katanya, lesen itu dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat, termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, pihak Meta telah bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf kod tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Oktober lalu dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MCMC pada awal minggu hadapan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci.

“Saya terima baik kesediaan pihak Meta untuk terus bekerjasama dalam isu pelesenan ini.

“Bagaimanapun, saya turut menegur pihak Meta kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), khususnya di platform Facebook.

“Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan Madani akan terus memastikan platform media sosial tegas dalam menangani jenayah dalam talian demi internet yang lebih selamat untuk semua terutama kanak-kanak dan keluarga.

Show More

Related Articles

Back to top button