Mahkamah tentukan nasib Najib Razak dalam kes penyelewengan dana 1MDB esok
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi dijangka membuat keputusan esok sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan diperintah membela diri atau dibebaskan daripada 25 tuduhan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kes itu telah melalui perbicaraan selama lebih enam tahun, yang melibatkan hujah-hujah panjang daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2.3 bilion melalui dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Tarikh keputusan itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak melalui prosiding selama 12 hari.
Sekiranya Najib didapati mempunyai kes prima facie, beliau akan diarahkan membela diri dan mahkamah akan menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak. Namun, jika tiada kes prima facie, Najib akan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
Sepanjang prosiding, pasukan pembelaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mengambil masa 11 hari setengah untuk membentangkan hujahan mereka, sementara pihak pendakwaan hanya memerlukan setengah hari bagi menyampaikan hujah mereka. Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib.
Perbicaraan itu telah berlangsung selama 235 hari sejak bermula pada 28 Ogos 2019, dengan 50 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan.
Antara saksi penting termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014. Pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya meliputi tempoh antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.
Jika didapati bersalah, Najib boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda yang boleh mencecah lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Bagi tuduhan pengubahan wang haram, beliau berdepan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Muhammad Shafee berhujah bahawa tiada bukti menunjukkan Najib berada di AmIslamic Bank Berhad semasa tempoh yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Menurutnya, pihak pendakwaan gagal membuktikan Najib menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan atau Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk kepentingan sendiri seperti yang didakwa.
Sebaliknya, pihak pendakwaan berhujah bahawa Najib memiliki kepentingan langsung dalam urusan 1MDB, walaupun peranannya disamarkan dengan individu yang masih tidak dapat dikenalpasti.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menegaskan bahawa tindakan Najib dalam 1MDB memberi keuntungan secara terselindung, memanipulasi kedudukan untuk memperoleh kelebihan di belakang tabir.
Keputusan esok bakal menjadi penentu penting dalam kes berprofil tinggi itu yang terus menjadi perhatian rakyat serta pemerhati politik tanah air.