Berita SemasaDalam Negeri

Kerajaan umum tol percuma sempena Deepavali

PUTRAJAYA – Pengguna lebuh raya pada musim perayaan Deepavali akan menikmati pemberian tol percuma mulai tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 29 Oktober 2024 (Selasa) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam, 30 Oktober 2024 (Rabu).

“Kerajaan Madani bersetuju untuk memberikan tol percuma pada 29 dan 30 Oktober 2024 bagi membolehkan pengguna lebuhraya berbilang kaum terutamanya masyarakat India beragama Hindu untuk menyambut perayaan Hari Deepavali 2024 dalam suasana gembira, harmoni dan saling hormat-menghormati.

“Pemberian ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM38 juta, yang ditanggung Kerajaan menerusi bayaran pampasan kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat,” kata Alexander dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Katanya, pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.

“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button