Berita SemasaPolitik

Galeri awam pun tidak dibenarkan : Wan Fayhsal kecewa keputusan Speaker Dewan

KUALA LUMPUR – Permohonan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad untuk berada di galeri awam sebagai pemerhati pada persidangan Dewan Rakyat tidak dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Beliau yang digantung selama enam bulan selepas membuat dakwaan mengenai surat layang di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holding Berhad ternyata kecewa dengan keputusan itu.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan keputusan Johari sebagai merendahkan martabatnya melebihi orang awam.

“Bagi saya, (keputusan) hari ini mengecewakan dan tidak lengkap.

“Saya tidak faham pandangan dan hujah speaker Dewan Rakyat. Di mana relevan pemerhati menimbulkan masalah kepada majlis (persidangan Dewan Rakyat),” katanya pada sidang media di Parlimen memetik laporan FMT hari ini.

Terdahulu, Johari memutuskan Ahli Parlimen digantung tidak boleh berada di Dewan termasuk galeri awam sepanjang persidangan berlangsung.

Johari menegaskan wakil rakyat terbabit hanya boleh mengikuti persidangan di luar Dewan berdasarkan arahan berkuat kuasa 15 Okt lalu itu.

Pada 21 Okt lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan meminta Wan Fayhsal yang digantung enam bulan dibenarkan duduk di galeri awam Dewan Rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button