Berita Semasa

Agensi Nuklear Malaysia anjur seminar mengenai keutuhan bahan binaan dan struktur

Pastikan infrastruktur yang dibangunkan di dalam negara mampu bertahan lama serta selamat

KUANTAN – Agensi Nuklear Malaysia baru-baru ini menganjurkan satu seminar mengenai keutuhan bahan dan struktur yang digunakan dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, tenaga dan pengeluaran di Malaysia.

Menurut agensi berkenaan dalam satu kenyataan hari ini, usaha ini merupakan satu inisiatif bagi memastikan bahawa infrastruktur yang dibangunkan mampu bertahan lama serta selamat digunakan

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan berkata, amalan penyelenggaraan yang berkesan di anggap sebagai penyelesaian utama, namun landskap industri yang dinamik memperlihatkan cabaran-cabaran yang tidak dijangka tetapi berpotensi mempercepatkan kemerosotan jangka hayat komponen kritikal.

“(Sehubungan itu) kajian dan penyelidikan (R&D) berterusan mengenai bahan dan keutuhan struktur adalah amat penting.

“Ini termasuk pemahaman mendalam mengenai sifat-sifat bahan, ketahanan terhadap tekanan, perubahan suhu dan faktor luaran lain yang boleh menjejaskan keutuhan struktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar on Material and Structural Integrity 2024, di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, kerajaan komited meningkatkan keupayaan R&D dalam kejuruteraan bahan sama ada bahan konvensional apatah lagi bahan termaju yang wujud dalam teknologi baru muncul (emerging technology) pada hari ini dan masa akan datang.

“Seiring dengan teknologi A.I, kemajuan dalam kecerdasan buatan dan analisis data besar memberi impak positif kepada pemantauan integriti struktur, membantu mengesan potensi masalah lebih awal dan mengurangkan risiko kegagalan,” katanya lagi.

Seminar selama dua hari ini turut menjadi platform untuk membincangkan inovasi dalam sains bahan dan teknik pengujian serta isu-isu berkaitan.

Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) dan disokong oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Tenaga Atom (JTA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Persatuan NDT Malaysia (MSNT) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Show More

Related Articles

Back to top button