Berita Semasa

Tiga sekeluarga terperangkap dalam kebakaran pangsapuri di Klang

SHAH ALAM – Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam bilik semasa pangsapuri mereka di Taman Sentosa, Klang, terbakar awal pagi tadi.

Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa berusia 30-an serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada pukul 2.58 pagi, sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah unit pangsapuri di tingkat dua, dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 20 peratus. Api berjaya dipadam sepenuhnya, dan tiga mangsa yang terperangkap dalam bilik berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua mangsa mengalami sesak nafas akibat asap tebal dan menerima bantuan daripada pasukan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS), sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button