Berita Semasa

KPM sedia bantu Cikgu Din, akan bertemu dalam waktu terdekat

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera untuk memberi bantuan kepada seorang guru yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya seperti yang sedang tular di media sosial.

Menurut KPM dalam satu kenyataan, pihaknya prihatin mengenai situasi dihadapi guru terbabit.

“Tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil. Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya.

“Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, KPM turut mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara.

Terdahulu seorang pengguna media sosial, Harima Abd Rahman mendedahkan Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM atas atas dasar tempoh perkhidmatannya yang belum mencecah tiga tahun.

Permohonan itu dibuat kerana cikgu berkenaan mahu berada di samping isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.

Difahamkan beliau ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak berulang-alik setiap dua minggu untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.

Pengorbanan demi pengorbanan dibuat akhirnya memakan diri apabila Cikgu Din disahkan menghidap tekanan mental atau major depressive disorder (MDD) yang menyaksikannya turut perlu menerima rawatan.

Show More

Related Articles

Back to top button