Berita Semasa

Kerajaan peruntuk RM900 juta bangunkan PRR, RMR – KPKT

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM900 juta daripada RM5.934 bilion yang diterima Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Belanjawan 2025 akan digunakan bagi Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu membabitkan sebanyak 48 PRR, 14 projek RMR dan tiga projek baharu membabitkan 600 unit rumah dalam Pembangunan Perumahan Inklusif Madani (PIM), PRR Kampung Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan dan PRR Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

“Ini adalah salah satu daripada 11 fokus kementerian, yang mana selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, (dan) tema Belanjawan 2025 tahun ini iaitu ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’,” kata Kor Ming, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025, di sini hari ini.

Tambahnya, kementerian turut meningkatkan kadar siling bina baharu kepada RM90,000 daripada RM75,000 serta menaikkan kadar siling baik pulih rumah rakyat kepada RM20,000 daripada RM10,000.

“Langkah ini akan dapat membantu rakyat, terutama komuniti yang mendiami kawasan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi penyelenggaraan rumah strata kos rendah dan sederhana, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM185 juta, termasuk sebanyak RM88.1 juta bagi penggantian lif usang.

Langkah ini, kata Kor Ming, menunjukkan hasrat pihaknya untuk menjadikan PRR berkenaan berprestasi unggul setaraf dunia.

“Saya yakin bahawa inisiatif-inisiatif ini akan memberi impak yang positif kepada sektor perumahan dan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button