Berita Semasa

Belanjawan 2025: RM10 bilion dibawah SJKP bantu pembeli rumah pertama dapatkan pinjaman

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM10 bilion dalam Belanjawan 2025 bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk membantu 20,000 pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, skim ini akan dapat membantu golongan pekerja ekonomi gig dan lepasan universiti mendapatkan rumah idaman mereka.

“Kebanyakan isu ditimbulkan oleh graduan lepasan universiti ataupun pekerja-pekerja ekonomi gig adalah untuk menyelesaikan isu kredibiliti kerana golongan berkenaan tidak mempunyai dokumen lengkap atau slip gaji yang tetap.

“Oleh itu, apabila kerajaan mahu memperkenalkan SJKP berkenaan, mereka boleh memohon daripada bank dan pihak bank akan menghubungi KPKT untuk mendapatkan kelulusan daripada skim berkenaan,” katanya.

Kor Ming berkata demikian dalam sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025, di sini hari ini.

Jelas beliau, pinjaman tersebut berisiko rendah kerana dijamin kerajaan.

“Setakat ini, KPKT telah berjaya membantu 53,000 pembeli rumah mendapatkan rumah pertama mereka. Tahun depan, KPKT menyasarkan pertambahan seramai 20,000 pembeli rumah untuk memiliki rumah pertama,” katanya.

Selain itu, kata Kor Ming, kerajaan akan turut memberi pelepasan cukai bagi bayaran faedah pinjaman perumahan hingga RM7,000 kepada pembeli rumah pertama bagi kediaman berharga bawah RM500,000, selama tiga tahun.

“Pelepasan cukai hingga RM5,000 akan diberikan bagi kediaman yang berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000.

“Inisiatif ini terpakai kepada perjanjian beli rumah dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027, sekali gus menampilkan komitmen kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah selaras aspirasi perlindungan untuk semua,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button