Berita Semasa

KDN nilai permohonan kewarganegaraan tanpa kira keturunan, agama, pangkat

KUALA LUMPUR – Setiap permohonan kewarganegaraan akan dinilai dengan teliti tanpa mengira keturunan, agama atau pangkat pemohon, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, permohonan kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan dan ia tidak diberikan sewenang-wenangnya.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited dalam memastikan setiap permohonan kewarganegaraan diproses dengan telus, adil dan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) yang ingin mengetahui langkah KDN memastikan mereka yang mempunyai kad pengenalan merah dan mempunyai dokumen permohonan lengkap tidak menunggu lama dalam proses permohonan mereka.

Pada masa yang sama, Saifuddin memaklumkan setakat 1 Oktober lalu, sebanyak 17,452 keputusan kewarganegaraan telah dikeluarkan KDN melebihi sasaran 17,000 permohonan yang ditetapkan.

“Setiap permohonan kewarganegaraan memerlukan penelitian rapi berdasarkan peruntukan undang-undang dan kementerian berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi mereka yang telah mengemukakan dokumen lengkap.

“Bagaimanapun, proses ini perlu dijalankan dengan cermat bagi memastikan pemohon memenuhi semua syarat dan kriteria yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pertimbangan juga dibuat berdasarkan syarat dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan seperti pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

Katanya, walaupun proses ini memerlukan masa, KDN berusaha mempercepatkan pengeluaran keputusan dengan penilaian setiap permohonan bergantung kepada dokumen sokongan dan fakta kes dikemukakan.

“Sebagai tambahan, KDN mengeluarkan Prosedur Pengendalian Standard Permohonan Kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada 30 September lalu yang akan memastikan proses permohonan dan tempoh masa pemprosesan selama setahun.

“SOP 19(1) ini akan berkuat kuasa bagi permohonan kewarganegaraan mulai 1 Januari 2025,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button