Bisnes & Ekonomi

Aplikasi MyInvois kini sedia digunakan

CYBERJAYA – Pembayar cukai kini boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa dan di mana jua.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri  (LHDN), pihaknya sentiasa komited dalam agenda memperkukuhkan infrastruktur perkhidmatan digital dan seterusnya ke arah pentadbiran cukai yang mudah dan lancar kepada pembayar cukai.

“Selepas ketersediaan portal MyInvois yang boleh digunakan oleh pembayar cukai pada Jun lalu, kini pembayar cukai boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa dan di mana jua.

“Aplikasi MyInvois ini disediakan secara percuma oleh LHDN dan boleh dimuat turun daripada semua platform sistem pengoperasian iaitu App Store (pengguna iOS), Google Play (pengguna Android) dan AppGallery (pengguna Huawei),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, bagi mengakses dan
melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois, pengguna perlulah melengkapkan proses log masuk kali pertama terlebih dahulu di Portal MyInvois.

Katanya, aplikasi itu turut menyediakan ciri-ciri utama seperti mana portal MyInvois iaitu pengurusan profil bagi pengguna, pembayar cukai (syarikat/organisasi), wakil, sistem ERP dan perantara serta pengurusan dokumen merangkumi pengemukaan, semakan, penolakan, pembatalan dan cetakan dokumen.

Dalam pada itu katanya, bagi memastikan penggunaan aplikasi secara optimum dan lancar, yang boleh digunakan ialah iOS versi 16.0 dan ke atas, Android versi 13 (API 33) dan ke atas dan EMUI versi 8.0 dan ke atas.

“Di samping ketersediaan aplikasi MyInvois ini, LHDN juga ingin memaklumkan bahawa fungsi portal MyInvois telah ditambah baik dengan beberapa ciri baharu seperti keupayaan carian dokumen yang dipertingkatkan mengikut keperluan pengguna, pengurusan format paparan visual e-Invois yang boleh diubah suai mengikut keperluan pengguna dan fungsi notifikasi yang boleh ditetapkan oleh pengguna bagi sebarang perubahan atau tindakan ke atas dokumen dan fungsi simpanan dan salinan dokumen sebagai draf,” katanya.

Sementara itu katanya, LHDN juga menyediakan panduan pengguna yang boleh diakses menerusi portal MyTax dan MyInvois.

Show More

Related Articles

Back to top button