Berita Semasa

Rafizi bawa isu kritikal Selatan Global pada Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Russia

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan mengadakan Lawatan Kerja ke Kazan, Persekutuan Rusia pada 23 dan 24 Oktober ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus.

Menurut Rafizi, sidang kemuncak itu bertemakan ‘BRICS dan Selatan Global: Bersama-sama Membangun Dunia yang Lebih Baik’ dan diadakan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16.

“Ia akan menghimpunkan Ketua Negara dan Kerajaan serta Menteri-Menteri daripada sembilan Negara Anggota BRICS, bersama wakil-wakil dari 20 negara jemputan bukan BRICS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lawatan ini turut disertai oleh pegawai kanan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Luar Negeri, menegaskan komitmen teguh Malaysia untuk memupuk dialog global.

Tambah Rafizi, semasa persidangan ini, beliau dijadualkan menyampaikan kenyataan Malaysia pada 24 Oktober yang akan menekankan isu-isu kritikal untuk Selatan Global, termasuk pembangunan mampan, pembaharuan sistem tadbir urus global, dan situasi geopolitik yang sedang berkembang di Timur Tengah.

Katanya, lawatan kerja ini juga akan merangkumi pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara jemputan lain di sela-sela persidangan.

“Melalui penglibatan aktif dalam Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus ini, Malaysia mengukuhkan komitmen untuk memperdalam hubungan dengan negara-negara BRICS dan menghadapi landskap ekonomi global yang kompleks dengan penuh ketahanan.

“Lawatan ini juga menyediakan platform strategik bukan sahaja untuk meneroka potensi peranan Malaysia dalam BRICS, tetapi juga untuk memperjuangkan kerjasama ekonomi, memupuk kemakmuran, dan menggalakkan pembangunan inklusif bagi Selatan Global,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button