Berita SemasaSukan

PM terima kunjungan atlet Olimpik dan Paralimpik negara

PUTARAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan bertemu dengan tujuh wira negara yang mengharumkan nama Malaysia di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Parlimen hari ini.

Anwar dalam kenyataan di Facebooknya berkata, kunjungan hormat itu dihadiri Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Anak Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard.

Mereka adalah atlet negara yang memenangi pingat di Paris dalam acara sukan masing-masing.

“Saya berbangga dengan pencapaian hebat ini dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah dan gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan kalian.

“Saya juga kagum mendengar perkongsian pengalaman saudara Wooi Yik yang sanggup menahan sakit akibat jari kakinya retak dan membengkak selama 74 minit sepanjang perlawanan penentuan pingat gangsa di Paris.

“Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris,” katanya.

Kunjungan hormat itu turut diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan iltizam Kerajaan untuk terus memperhebat pembangunan sukan negara, khususnya menerusi peruntukkan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025.

“Peruntukan ini antaranya untuk program podium, latihan atlet dan Road to Gold; persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025; kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara; serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button