Berita Semasa

Peruntukan RM290 juta disediakan bagi pemberian baucar buku MADANI

Manfaatkan lebih 3.5 juta murid sekolah dan pelajar lepasan menengah

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM290 juta bagi pelaksanaan pemberian baucar buku MADANI kepada lebih 3.5 juta murid sekolah dan pelajar lepasan menengah.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, pihaknya menyasarkan penebusan dan transaksi pembelian penuh dilakukan sehingga akhir tahun ini.

“Sehingga 21 Oktober 2024, seramai 1,915,110 orang murid dan pelajar lepasan menengah seluruh negara membuat penebusan Baucar Buku MADANI.

“Daripada jumlah itu, seramai 661,487 ialah murid tahap dua sekolah rendah manakala seramai 1,191,817 adalah murid sekolah menengah. Bagi Kolej Vokasional, Pra-Universiti, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru pula berjumlah 61,806 pelajar,” katanya Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berhubung status terkini pemberian baucar buku dan jumlah peruntukan yang disediakan.

Jelasnya, murid sekolah rendah (Tahun 4 dan ke atas) menerima baucar sebanyak RM50, manakala murid sekolah menengah dan pelajar lepasan menengah seperti kolej tingkatan enam, kolej vokasional dan kolej matrikulasi serta pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menerima baucar sebanyak RM100.

Katanya, jumlah nilai baucar buku MADANI yang sudah ditebus sehingga 21 Oktober 2024 adalah RM157 juta dan menghasilkan nilai pembelian keseluruhan RM120.5 juta membabitkan 3.9 juta naskhah buku.

“Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyokong perkembangan literasi dalam kalangan murid Malaysia.

“Dengan peruntukan yang besar ini, program Baucar Buku MADANI juga berupaya meningkatkan akses kepada sumber pendidikan yang berkualiti, minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat bagi murid pelbagai peringkat pendidikan di Malaysia,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button