Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pekerja warga asing maut terjatuh dari tingkat lapan

BAYAN LEPAS – Seorang pekerja pembinaan warga asing maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan ketika melakukan kerja-kerja mengecat sebuah bangunan di sini semalam.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pekerja kontrakt yang dilantik menjalankan kerja mengecat di tapak pembinaan itu.

“Lelaki itu dilapor terjatuh dari tingkat lapan ketika sedang melompat keluar dari gondola gantung ke tingkat lapan.

“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, JKKP mengarahkan pemberhentian serta-merta ke atas penggunaan kelengkapan akses gantung jenis sementara bagi kerja di tempat tinggi di tapak pembinaan terbabit sehingga siasatan selesai dijalankan.

JKKP juga mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKPP Pulau Pinang.

“Siasatan susulan akan dijalankan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan rakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti, selain lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

“Majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor, selain komited meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button