Berita Semasa

MCMC mulakan rundingan awam draf kod tatalaku penyedia perkhidmatan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memulakan rundingan awam mengenai draf kod tatalaku (amalan terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial (penyedia perkhidmatan).

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, rundingan awam itu susulan daripada pengenalan kerangka pelesenan untuk perkhidmatan pesanan internet dan perkhidmatan media sosial yang diwartakan pada 1 Ogos 2024 lalu dan bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 depan.

“Tujuan rundingan awam ini untuk mendapatkan input dan maklum balas
daripada penyedia perkhidmatan, orang awam, pemain industri, dan pihak
berkepentingan yang relevan.

“Matlamat draf kod tatalaku (amalan terbaik) adalah bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat untuk rakyat Malaysia, terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan rentan yang berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, draf itu yang dicadangkan oleh MCMC menggariskan
amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, MCMC amat menggalakkan penyertaan daripada penyedia perkhidmatan, orang awam dan semua pihak berkepentingan yang berminat dalam proses rundingan awam yang akan bermula dari 22 Oktober sehingga 5 November ini

“Rundingan awam ini merupakan peluang untuk semua pihak menyumbang
kepada dasar-dasar yang akan membentuk masa depan persekitaran dalam talian di Malaysia, memastikan bahawa ruang dalam talian kekal selamat, terjamin, serta kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button