Berita Semasa

Bomba terima peruntukan RM1.092 bilion bagi bangunkan 70 projek

KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 projek bernilai lebih RM1.092 bilion diluluskan untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi tahun 2025, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut Kor Ming, projek tersebut merangkumi 22 projek baharu dan dan 48 projek sambungan yang masing-masing berjumlah lebih RM390 juta dan RM700 juta.

“Objektif utama KPKT dan JBPM iaitu mengurangkan masa respon nasional (national average response time) telah diberi perhatian yang khusus oleh agensi pusat,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Terdahulu, Kor Ming merasmikan tiga acara iaitu Persidangan Agung Persatuan Ketua Bomba Antarabangsa Asia (IFCAA); Persidangan dan Pameran Kebakaran Antarabangsa Malaysia (IFCEM) serta Cabaran Penyelamatan Antarabangsa Malaysia (MIREC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad serta Presiden Persatuan Ketua Bomba Antarabangsa Asia (IFCAA) merangkap Ketua Bomba Jabatan Bomba Tokyo, Yoshida Yoshimi.

Sidang media Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, projek tersebut juga diterjemahkan melalui pembinaan enam buah balai bomba baharu dengan peruntukan sebanyak RM 66.8 juta.

“Balai bomba baharu itu ialah Balai Bomba dan Penyelamat Desa Petaling, Kuala Lumpur; Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Enstek, NegeriSembilan 3; Balai Bomba dan Kuarters Engkelili, Sarawak; Balai Bomba dan Penyelamat Dalat, Sarawak; Balai Bomba dan Penyelamat Sepanggar, Sabah; Balai Bomba dan Kuarters Kota Kemuning, Selangor,” katanya.

Pada masa yang sama, Kor Ming berkata, kerajaan turut meluluskan sejumlah 250 unit kediaman kuarters berjumlah RM174.1 juta, sekali gus membantu menyelesaikan permasalahan perumahan yang dihadapi anggota bomba di negara ini.

“Ia merangkumi 130 unit Kuarters BBP Kota Kemuning, Selangor; 48 Unit Kuarters Paya Terubong, Pulau Pinang serta 72 unit Kuarters Labuan,” katanya lagi.

Selain itu, Kor Ming berkata, isu kritikal bagi penggantian kenderaan lama juga telah diberi perhatian dengan begitu baik apabila diluluskan perolehan 231 kenderaan baru dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.

“Ia melibatkan perolehan 200 unit kenderaan ringan bagi kegunaan kecemasan dan kerja lasak, perolehan 26 Unit Light Fire Forensic Vehicle (LFFV) serta perolehan penggantian 5 Unit Jentera Khas K9 (Canine Rescue Tender).

“lanya juga turut disokong dengan penggantian peralatan Personal Protective Equipment (PPE) berjumlah RM9.7 Juta seperti perolehan penggantian 2,000 unit Tabung Breathing Apparatus (BA) 2 dan perolehan 4,000 Unit Fire Fighting Helmet berserta aksesori,” ujarnya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat Pameran Kebakaran Antarabangsa Malaysia (IFCEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, terdapat juga peruntukan khusus yang diberikan bagi penyelenggaraan kenderaan melibatkan peruntukan berjumlah RM33.69 juta.

“Penyelenggaraan kenderaan bomba, refurbishment 82 unit Kenderaan Angkut Berat Hicom Handalan 3 dan recondition 172 kenderaan pengoperasian.

“Ini juga termasuk penyelenggaraan besar atau naik taraf balai bomba berusia lebih 50 tahun berjumlah RM 31.7 Juta seperti Pembinaan Semula BBP Banting, Selangor; BBP Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta pembinaan semula dan ubah sebahagian BBP Kuantan Pahang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button