Berita SemasaJenayah & Mahkamah

14 rangkaian kedai aksesori telefon tiruan diserbu KPDN

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 2,600 unit aksesori telefon bimbit pelbagai jenis yang dipercayai tiruan dalam serbuan di 14 buah lokasi berasingan pada minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi bersepadu oleh anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama pejabat KPDN Negeri itu adalah hasil daripada aduan wakil pemilik cap dagangan berdaftar dan risikan awal pihaknya.

Katanya, serbuan melibatkan sembilan negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.

“Kesemua premis terbabit disyaki membekalkan aksesori telefon bimbit tiruan dengan berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli, melibatkan pemilikan oleh syarikat yang sama di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pegawai penguat kuasa telah menemukan sejumlah 2,600 unit pelbagai jenis aksesori telefon bimbit yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

“Kesemua aksesori telefon bimbit tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM65,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Katanya, jika disabitkan kesalahan berkaitan pemakaian cap dagang secara salah, suatu pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, atau RM30,000 bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya.

“Manakala bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya dan didenda tidak melebihi RM20,000.00 bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Anngota penguatkuasa KPDN memeriksa produk jualan yang dipercayai sebagai tiruan.

Syarikat itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

“KPDN ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ianya merupakan suatu kesalahan yang serius.

“Pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara serta dikhuatiri boleh mengancam keselamatanpengguna itu sendiri,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button