Berita Semasa

Penguatkuasaan mapan mampu kekang penggunaan produk tembakau, e-rokok – Dr. Dzulkefly

PUTRAJAYA – Malaysia hari ini menyarankan penguatkuasaan yang mapan bagi mengekang epidemik penggunaan produk tembakau dan e-rokok.

Saranan tersebut dibangkitkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika menyampaikan kenyataan negara bagi pihak Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Ke-75 bagi Pasifik Barat (WPRCM), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini di Manila, Filipina.

“Saya optimistik bahawa Akta Kesihatan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang baru sahaja berkuatkuasa akan memperkasa lagi usaha ini.

“Undang-undang ini juga dimaksudkan untuk bergerak selari dengan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau WHO (WHO FCTC), seterusnya memperkukuh lagi usaha kita untuk memupuk persekitaran dan gaya hidup yang lebih sihat untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Tujuan WPRCM adalah untuk membincangkan isu-isu berbangkit; cabaran dan halangan; menerima usul atau cadangan baharu berkaitan dasar kesihatan sejagat; serta merangka strategi dan penyelesaian yang bersesuaian.

Selain itu, ia juga merupakan satu forum serantau di mana negara anggota berbincang dan menerima pakai dasar atau strategi yang diputuskan di peringkat WHO.

WPRCM Ke-75 pada kali ini akan membincangkan isu dan resolusi yang telah dipersetujui pada Persidangan Kesihatan Sedunia Ke-77 (WHA77) yang berlangsung pada 27 Mei hingga 1 Jun 2024 lalu, selain membincangkan cadangan agenda bagi WHA Ke-78 yang dijadualkan pada bulan Mei tahun hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button