Berita Semasa

MAIWP bantu mahasiswa cemerlang daripada golongan asnaf langsaikan bayaran pinjaman

KUALA LUMPUR – Mahasiswa cemerlang yang tergolong dalam kumpulan asnaf dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh memohon bantuan melangsaikan keseluruhan pinjaman pendidikan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya berkata, bantuan menerusi skim zakat pendidikan bermula tahun lalu itu layak bagi mahasiswa yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas.

Langkah ini, katanya, adalah bagi meringankan beban mahasiswa yang akan terikat dengan hutang pendidikan sebaik tamat pengajian.

“Jadi mulai tahun lalu, MAIWP menawarkan untuk menyelesaikan keseluruhan jumlah pinjaman pendidikan anak asnaf yang berdaftar (dengan MAIWP).

“Ia tak terhad kepada pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi pinjaman lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain.

“Setakat ini, kita ada puluhan mahasiswa yang menerima bantuan terbabit,” katanya selepas Majlis Pelancaran Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah.

Dalam majlis berkenaan, MAIWP menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 904 mahasiswa dalam kalangan anak asnaf dan golongan B40 dengan dana zakat keseluruhan bernilai RM3.4 juta.

Bantuan itu disalurkan melalui skim bantuan baharu yang julung kali diperkenalkan iaitu Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP.

Show More

Related Articles

Back to top button