Berita Semasa

Belanjawan 2025 bangkitkan motivasi golongan nelayan

KOTA BHARU – Bantuan bagi golongan nelayan yang diteruskan dalam Belanjawan 2025 mampu menaikkan semangat dan motivasi seramai 86,000 golongan berkenaan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh negara.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, nelayan tidak pernah dilupakan setiap kali belanjawan negara dibentangkan.

“Saya menyambut baik pengumuman kerajaan dengan menaikkan peruntukan subsidi dan bantuan serta insentif kepada nelayan.

“Ini termasuk keputusan menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada RM84,000 ringgit untuk Semenanjung iaitu peningkatan 50 peratus dan RM90,000 untuk Sabah dan Sarawak iaitu peningkatan 32 peratus.

“Bantuan diesel turut dikekalkan untuk para nelayan, membuktikan Kerajaan Madani cakna dengan keperluan sebenar komuniti kecil ini yang memberikan sumbangan besar kepada agenda keterjaminan makanan.

“Saya yakin pengumuman itu mampu meningkatkan motivasi dan semangat seramai 86,000 nelayan seluruh negara yang berdaftar menerusi LKIM. Bantuan itu juga mampu meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan pada 2025, meningkat berbanding RM2.6 bilion tahun ini.

Anwar turut berkata, kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan juga dinaikkan kepada RM84,000, berbanding RM56,000 di Semenanjung.

Show More

Related Articles

Back to top button