Berita SemasaDalam Negeri

Selangor fatwakan GISBH sesat

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengumumkan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa ajaran dan fahaman Global Ikhwan Services Holding Sdn Bhd (GISBH) difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng.

Pengerusi (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, penwartaan mengenai perkara itu telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor, kelmarin.

“Selaras dengan fatwa tersebut juga, mana-mana orang Islam yang telah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran dan amalan yang telah diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

“Pihak berkuasa yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru kata beliau, umat Islam di Selangor dilarang dan diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebar, mengembang dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

Katanya, mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Selain itu Abdul Aziz berkata, MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor telah merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa.

“Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button