Berita Semasa

Belanjawan 2025: LTAT berhasrat kurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan kritikal yang diimport

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersedia merebut peluang baharu untuk menyumbang secara signifikan kepada kemampanan ekonomi negara menerusi pengumuman Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, belanjawan itu yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan tumpuan kepada usaha mengangkat daya saing negara, mempromosikan pertumbuhan yang inklusif, serta melonjakkan tadbir urus.

“Fokus ini seiring dengan komitmen LTAT dalam mencipta nilai jangka panjang untuk negara.

“Dengan peruntukan sebanyak RM440 bilion kepada pasaran modal domestik dan RM120 bilion untuk pelaburan langsung domestik melalui ikhtiar GEAR-uP, LTAT bersedia merebut peluang baharu untuk menyumbang secara signifikan kepada kemampanan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu katanya, LTAT dan kumpulan syarikat itu turut beriltizam sepenuhnya untuk menyokong aspirasi Belanjawan 2025.

Katanya, sebagai pelabur institusi strategik, fokus pihaknya adalah seiring dengan kepentingan nasional dan matlamat pembangunan utama, di samping memastikan masa depan yang lebih makmur untuk para perwira negara.

“Belanjawan yang progresif ini meletakkan asas kukuh bagi kemajuan ekonomi Malaysia dan kami komited untuk memainkan peranan penting dalam mencerna hasil yang positif.

“Kami optimis bahawa belanjawan ini akan mempercepatkan momentum ekonomi, mempromosikan pembangunan mampan dan menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pelaburan,” katanya.

Sementara itu katanya, melalui pelaburan strategik itu, LTAT berhasrat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan kritikal yang diimport.

“Pengeluaran insulin dan vaksin halal tempatan oleh Pharmaniaga, sebagai contoh, merupakan langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan negara.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia, selaras dengan Belanjawan 2025,” katanya.

Mohammad Ashraf turut memberi jaminan bahawa LTAT akan terus menghargai pengorbanan angkatan tentera kita melalui pelaburan yang bijak.

Katanya, ini bagi memastikan kelestarian kewangan para veteran serta pertumbuhan mampan bagi kesejahteraan ahli-ahlinya dan generasi akan dating.

Show More

Related Articles

Back to top button