Berita Semasa

Sindiket persundalan makin kreatif, sasar medan selera di sekitar KL

KUALA LUMPUR – Sindiket persundalan semakin kreatif dengan menjadikan kawasan medan selera di sekitar ibu negara sebagai lokasi mempromosikan kegiatan tidak bemoral itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, maklumat itu merupakan hasil dapatan daripada Pasukan KL Strike Force yang ditubuhkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Cabaran ketika ini adalah kawasan ‘hotspot’ terbaru aktiviti ini dilalukan seperti di medan selera di sekitar Luala Lumpur seperti di Jalan Loke Yiew dan Jalan Pudu, di mana sindiket ini semakin kreatif dengan menjadikan kawasan tersebut bagi mempromosikan aktiviti persundalan mereka.

“Malah memasuki pasca normal ini, kegiatan persundalan telah berpindah daripada premis konvesional kepada platform digital, lebih-lebih lagi rumah inap dan kediaman peribadi serta hotel dijadikan sarang menjalankan aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berkenaan aktiviti persundalan, pergaduhan warga asing tanpa permit dan kebanjiran penjaja warga asing di Kuala Lumpur masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force telah diaktifkan.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, semenjak penubuhan Pasukan KL Strike Force, pihak PDRM telah menyerbu sebanyak 209 premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan.

“Berdasarkan statistik serbuan yang bermula pada 27 Mei 2024 hingga 30 September 2024, seramai 781 orang telah ditangkap terdiri daripada 149 orang warga tempatan 632 warga asing berusia dalam lingkungan 18 hingga 61 tahun.

“Tindakan pembanterasan giat dijalankan di kawasan yang berpotensi untuk menjalankan kegiatan ini dan tiada tindakan pilih kasih sama ada penawaran persundalan golongan elit dan bawahan akan diambil tindakan yang sama,” katanya.

Tambah Zaliha, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengetuai operasi bersepadu bersama pelbagai agensi kerajaan ke atas premis-premis warga asing dengan empat siri operasi bersepadu telah dijalankan setakat September tahun ini.

“Menerusi operasi tersebut sebanyak 11 telah dipantau dan empat premis telah diambil tutup serta merta di bawah Seksyen 101 (1V) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.

“Manakala sebanyak lapan siri tindakan khas oleh premis perniagaan warga asing telah dilaksanakan dengan sebanyak 59 perniagaan telah dipantau dan daripada itu, 15 premis telah ditutup, 53 notis kesalahan telah dikeluarkan, 22 sitaan telah dilakukan serta 22 kertas siasatan juga telah dibuka,” jelasnya.

Selain itu, Zaliha berkata, bagi tindakan khas terhadap penjaja warga asing, 21 siri tindakan khas telah dijalankan setakat September tahun ini, dengan 2261 sitaan telah dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur.

“InsyAllah saya pun terima jolokkan ‘tiga wanita besi’. Kita akan lihat Kuala Lumpur bersih daripada perkara yang membimbangkan dan saya ingatkan jangan macam-macam di KL,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button