Berita Semasa

KKM siasat dakwaan doktor maut akibat dibuli di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan berhubung kes kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, yang didakwa berpunca akibat dibuli.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang turut mempertimbangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi meneliti kes berkenaan.

“Ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sejurus menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018.

“Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat di mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung gejala buli dalam kalangan doktor pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly turut memaklumkan hasil siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patalogi di Hospital Lahad Datu akan didedahkan kepada umum tidak lama lagi.

Tegas Dzulkefly, pihaknya memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang terlibat, jika terbukti terdapat unsur buli dalam kes itu.

Jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, tindakan itu akan diambil walaupun hasil siasatan jawatankuasa bebas mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian pakar itu.

“Pada 2018, saya pernah memecat ketua jabatan di hospital kendalian KKM di Lembah Klang selepas didapati membuli doktor lain, biarpun dia ketika itu sudah berpangkat Jusa. Tindakan ini hasil sisastan jawatankuasa bebas berkaitan buli.

“Saya lebih gemar mengambil sikap untuk mendedahkan dapatan ini atas prinsip akauntibiliti dan ketelusan dan mustahak untuk ia dilakukan sedemikian supaya semua pihak dapat mengambil iktibar, terutama dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Ahli Parlimen perlu tahu perkara ini secara terperinci bagi memastikan dasar baharu yang digubal nanti boleh berpandukan maklumat tepat,” katanya menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur).

Show More

Related Articles

Back to top button