Berita Semasa

Kadar kelahiran negara meningkat 7.7 peratus pada 2023

PUTRAJAYA – Kadar kelahiran hidup dalam negara meningkat 7.7 peratus kepada 455,761 pada 2023 berbanding 423,124 kelahiran pada 2022.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam terbitan Perangkaan Penting 2024, kelahiran bayi lelaki direkodkan melebihi bayi perempuan iaitu masing-masing 235,981 dan 219,780.

“Peningkatan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar (CBR) turut merekodkan peningkatan daripada 12.9 pada 2022 kepada 13.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2023,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, semua negeri merekodkan peningkatan CBR pada 2023 berbanding 2022 kecuali Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya yang merekodkan penurunan daripada 15.7 kelahiran pada 2022 kepada 14.4 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2023.

“Terengganu merekodkan CBR tertinggi dengan 21.6 kelahiran manakala WP Kuala Lumpur merekodkan CBR terendah dengan 10.7 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk,” katanya.

Selain itu, tujuh negeri merekodkan CBR melebihi paras nasional pada 13.6 kelahiran iaitu Kelantan (19.2), Kedah (15.4), Pahang (14.7), WP Putrajaya (14.4), WP Labuan (14.2) dan Johor (13.7).

Dari segi etnik, orang Melayu menyumbang 67 peratus atau 305,494 kelahiran hidup daripada jumlah kelahiran hidup pada 2023 manakala kelahiran hidup bagi etnik Cina dan India masing-masing merekodkan peningkatan daripada 9.5 peratus dan 4.1 peratus pada 2022 kepada 9.8 peratus dan 4.4 peratus pada 2023.

Sementara itu, beliau berkata Bumiputera lain meningkat kepada 12.7 peratus berbanding 12.5 peratus pada 2022.

Mengenai kadar kematian, Mohd Uzir berkata, kematian yang direkodkan pada 2023 ialah 196,965 kematian, menurun 4.7 peratus berbanding 206,780 kematian pada 2022 iaitu selepas pandemik COVID-19.

Tambahnya, kadar kematian kasar (CDR) turut merekodkan penurunan daripada 6.3 kematian pada 2022 kepada 5.9 kematian pada 2023 bagi setiap 1,000 penduduk.

Bilangan kematian lelaki pada 2023 ialah 112,293 atau 57 peratus daripada jumlah kematian manakala bilangan kematian perempuan ialah 84,672 atau 43 peratus.

Kumpulan umur 70-74 tahun merekodkan jumlah kematian tertinggi pada 2023 dengan 24,516 kematian berbanding kumpulan umur yang lain manakala kumpulan umur lima hingga sembilan tahun merekodkan bilangan terendah dengan 474 kematian pada 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button