Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina beri peluang perkukuh kerjasama bilateral
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Filipina bertekad memperkukuh hubungan diplomatik yang kini mencecah usia 60 tahun melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina (JCM) ke-8, yang berlangsung buat kali pertama sejak 2011.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat JCM kali ini akan membuka peluang untuk meneroka kerjasama baru dalam bidang pertanian, keselamatan makanan, ekonomi digital, dan industri halal.
“Sempena memperingati 60 tahun hubungan diplomatik, saya teruja untuk memajukan kerjasama kita dan mempererat lagi kolaborasi antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Menteri Luar Filipina, Enrique A. Manalo yang berada di Malaysia untuk menghadiri mesyuarat penting itu bersama pemimpin-pemimpin Malaysia.
Kedua-dua negara juga menekankan peri pentingnya rundingan berterusan mengenai Laut China Selatan, dengan matlamat mencapai ‘kod kelakuan’ melalui dialog dan pematuhan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh hubungan dua hala yang berasaskan rasa hormat dan kerjasama erat,” katanya.