Berita Semasa

Tanah runtuh Taman Melawati : 20 penduduk diarah pindah

PETALING JAYA – Seramai 20 penghuni rumah teres di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang diarah berpindah berikutan kejadian tanah runtuh di lereng bukit pagi tadi.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, sebahagian penduduk telah dimaklumkan mengenai arahan pemindahan ke dewan serbaguna di Jalan E6.

Bagaimanapun katanya sebilangan besar penghuni tidak dapat dihubungi kerana telah keluar bekerja.

“Kami telah menempatkan pegawai dan anggota untuk memastikan penduduk yang terlibat mengosongkan rumah mereka buat sementara waktu demi keselamatan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tanah runtuh pada sekitar jam 10.30 pagi di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati.

Menurutnya, kejadian itu telah mengakibatkan laluan utama ke 20 rumah teres di kawasan berkenaan terputus, manakala sebuah kereta yang diparkir di dalam rumah dilaporkan mengalami kerosakan.

“Kerosakan turut melibatkan sebuah kabin pondok pengawal, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” tambahnya.

Pihak berkuasa kini berada di lokasi kejadian untuk memantau perkembangan dan memastikan keadaan terkawal.

Show More

Related Articles

Back to top button