Suami isteri Myanmar jadi tekong seludup warga asing ditahan
PADANG BESAR – Pasangan suami isteri warga Myanmar merupakan antara empat individu yang ditahan dalam sindiket penyeludupan warga asing ke negara ini di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menahan empat suspek yang dipercayai tekong darat penyeludupan migran berkenaan selepas mengekori sebuah kereta yang mencurigakan di kawasan Kilang Gula, Chuping, di sini.
Katanya, serbuan yang disertai sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PGA Batalion 2 Kulim.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, PGA yang sedang bertugas ternampak sebuah kereta Nissann Sylphy di kawasan Kilang Gula, Chuping dan bertindak menahan kereta itu dan ketika diperiksa, anggota PGA mendapati terdapat empat individu warga Myanmar termasuk dua wanita berusia antara 18 hingga 30 tahun berada dalam kereta itu.
“Semasa pemeriksan dibuat ke atas kesemua migran berkenaan, kita mendapati dapati dua daripada warga Myanmar itu adalah pasangan suami isteri berusia 28 dan 30 tahun serta mempunyai pasport dan suaminya pula didapati memandu kereta itu.
“Satu lagi pasangan pula tidak mampunyai sebarang hubungan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika memasuki negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kata Mohd Shokri, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri tersebut bertindak sebagai tekong yang membawa masuk warga asing ke negara ini dengan upah RM500 setiap kepala.
“Suspek suami isteri yang bertindak sebagai tekong itu ditahan reman selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 8 November hadapan,” katanya.